LOGIK, TUHAN & SEBUAH MEJA KEDAI KOPI
Petang itu seperti biasa.
Meja plastik hijau. Teh tarik hampir sejuk. Asap rokok naik perlahan. Ini rutin hidup aku — lepak kedai kopi, dengar cerita manusia.
Kawan aku ni jenis ego. Hidup keras. Banyak benda terjadi dalam hidup dia. Dan seperti biasa, ayat yang keluar:
“Aku tak percaya Tuhan. Kalau Tuhan ada, hidup aku tak jadi macam ni. Tuhan itu tak logik..”
Aku tak nak bantah. Aku tak nak pun ceramah. Aku cuma senyum jer.
Aku tanya dengan perlahan.
Aku: “Kau percaya logik kan?”
Dia: “Mestilah. Aku bukan bodoh.”
Aku angguk.
Aku: “Logik tu kita guna bila mata nampak, telinga dengar, badan rasa. Betul?”
Dia angguk lagi.
Aku: “Kalau satu benda tak boleh dilihat, tak boleh didengar, tak boleh dirasa — logik masih boleh pakai?”
Dia diam sekejap.
Dia: “Tak kot…”
Aku senyum.
Aku: “Kau nampak tak akal kau? Perasaan kau? Kau nampak tak tenaga graviti dan tenaga alam yang lain?”
Rokok dia terhenti separuh jalan.
Logik itu ada had. Bila pancaindera terhenti, logik pun terhenti. Itulah makna logik sebenar...
Kerana logik itu dicipta untuk otak manusia mentafsir hidup.. dan otak manusia tak terlibat langsung dalam penciptaan alam semesta ini..
Aku tukar topik, santai.
Aku: “Kau pernah cipta benda tak?”
Dia: “Pernah. Aku dulu kan engineer.”
Aku: “Setiap benda yang kau cipta, ada tujuan kan?”
Dia: “Ya.”
Aku pandang sekeliling.
Kereta ada fungsinya. Telefon ada fungsi. Bangunan pun ada fungsi.
Aku: “Alam semesta ni… kau boleh tukar fungsi dia tak?”
Bulan jadi matahari? Air menjadi api? Cahaya punca kesejukan? Nitrogen ganti Oksigen untuk bernafas? Batu bata jadi asas makanan manusia?
Dia geleng kepala.
Aku: “Kalau kau tak boleh, siapa boleh?”
Dia diam.
Aku sambung.
Aku: “Sekarang kau makan nasi. Siapa urus nasi tu jadi tenaga?”
Aku: “Siapa urus jantung kau berdegup tanpa kau fikir?”
Aku: “Siapa urus nafas kau masuk bila kau tidur?”
Aku pandang mata dia.
Kalau semua ni berlaku sendiri, itu tak logik. Itu keletihan berfikir.
Itu jawapan malas dan ego tidak mahu menerima kenyataan..
Kalau kau menolak tuhan yang ada.. tapi kau tetap percaya ada sesuatu yang mencipta dan mengurus segalanya.. itulah Tuhan..
Cuma tinggal kau mencari.. Tuhan yang mana satu?!
Dia sedut rokok dalam-dalam. Asap keluar perlahan.
“Aku cuma marah… hidup aku hancur.”
Aku jawab jujur.
Aku: “Aku faham. Tapi kau bukan tolak Tuhan sebab logik.”
Aku: “Kau tolak sebab kau sakit.”
Ayat terakhir aku lepaskan perlahan.
“Logik tak pernah menafikan Tuhan. Manusia je yang menafikan Tuhan bila hidup dia tak ikut apa yang dia nak.”
Sunyi.
Teh tarik sejuk. Rokok habis.
Dan aku tahu — ayat itu akan hidup lama dalam kepala dia.

0 Ulasan