BAB
1 - BAHASA DAN MONOLOG
"Bahasa ialah rumah kepada
makna. Monolog ialah tempat makna itu hidup."
Aku yakin, sebelum manusia mengenal
dirinya, sebelum manusia memahami kehidupan, dan sebelum manusia mampu
mentafsir alam semesta, manusia terlebih dahulu mengenal bahasa.
Bahasa bukan sekadar alat untuk
bercakap.
Bahasa ialah alat untuk memahami.
Tanpa bahasa, manusia mungkin masih mampu melihat.. tetapi belum tentu mampu memahami apa yang dilihatnya.
Tanpa bahasa, manusia mungkin masih mampu mendengar.. tetapi belum tentu mampu memberi makna kepada apa yang didengarnya.
Semakin lama aku memerhati
kehidupan, semakin aku menyedari bahawa hampir semua persoalan manusia
sebenarnya bermula daripada bahasa.
Manusia bergaduh kerana bahasa.
Manusia berdamai kerana bahasa.
Manusia membina tamadun melalui
bahasa.
Dan manusia juga memusnahkan tamadun
melalui bahasa.
Namun, semakin aku mencari jawapan,
semakin aku menyedari bahawa bahasa jauh lebih besar daripada sekadar perkataan
yang keluar daripada mulut manusia.
Bahasa sebenarnya telah wujud
sebelum kita menggunakannya.
Aku percaya, sebelum terciptanya
alam semesta, Allah telah menetapkan satu sistem yang menjadi asas kepada
segala kewujudan.
Sistem itu ialah bahasa.
Bukan bahasa Melayu.
Bukan bahasa Arab.
Bukan bahasa Inggeris.
Tetapi bahasa sebagai sistem mentafsir makna.
Apabila Allah menghendaki sesuatu
berlaku, Dia hanya berfirman:
"Kun fayakun."
"Jadilah!
Maka jadilah ia."
Firman itu bukan sekadar bunyi.
Ia adalah perintah.
Ia adalah makna.
Ia mempunyai Definisi tersendiri.
Ia adalah permulaan kepada seluruh
kewujudan.
Daripada satu firman itu, seluruh
alam semesta mula bergerak menurut hukum yang telah diperintahkan dan ditetapkan.
Aku tidak mengatakan bahawa Allah
memerlukan bahasa seperti manusia.
Sebaliknya, aku ingin menunjukkan
bahawa sejak awal lagi, kewujudan ini dibina di atas satu sistem penyampaian
makna.
Sebab itulah aku melihat bahasa
sebagai asas kepada segala pemahaman.
Bahasa bukan sekadar ciptaan
manusia.
Bahasa ialah jambatan yang
menghubungkan makna dengan realiti.
Semakin aku memerhati alam, semakin
aku sedar bahawa bahasa bukan hanya dimiliki oleh manusia.
Seluruh alam sedang berbahasa.
Matahari tidak bercakap.
Namun setiap kali ia terbit, ia
membawa satu mesej.
Malam tidak bersuara.
Namun kehadirannya menyampaikan
makna.
Air yang tenang mempunyai bahasanya.
Ribut yang mengganas juga mempunyai
bahasanya.
Tubuh manusia juga berbahasa.
Apabila kita lapar, tubuh sedang
berbicara.
Apabila kita sakit, tubuh sedang
memberikan isyarat.
Apabila hati menjadi tenang, jiwa
juga sedang menyampaikan sesuatu kepada kita.
Semua itu ialah bahasa.
Bukan bahasa yang ditulis.
Bukan bahasa yang diucapkan.
Tetapi bahasa yang difahami melalui
makna.
Sebab itulah aku percaya bahawa
bahasa jauh lebih luas dan jauh lebih berkuasa!
Bahasa ialah sistem komunikasi yang
menghubungkan seluruh kewujudan.
Setiap atom yang wujud dalam setiap penciptaan alam semesta pasti ada bahasa yang diprogram untuk melakukan kerja khusus dan sebagainya.
Apabila manusia mula memahami
hakikat ini, dia akan melihat kehidupan dengan cara yang berbeza.
Dia tidak lagi melihat alam sebagai
objek yang bisu.
Sebaliknya, dia melihat setiap
kejadian sebagai satu bentuk komunikasi yang sedang mengajaknya berfikir.
Dalam banyak ayat al-Quran, Allah
mengajak manusia berfikir.
Allah bertanya:
"Tidakkah kamu berfikir?"
"Tidakkah kamu mengambil
pelajaran?"
"Sesungguhnya pada yang
demikian itu terdapat tanda-tanda bagi orang yang berakal."
Semua seruan itu datang melalui
bahasa.
Bahasa yang menghidupkan akal.
Bahasa yang menggerakkan hati.
Bahasa yang membawa manusia daripada mengetahui kepada menyedari.
Bahasa membentuk cara manusia
melihat realiti.
Apa yang tidak mempunyai nama sukar
difahami.
Apa yang tidak difahami sukar
dijelaskan.
Apa yang tidak dapat dijelaskan
sukar dikongsi dengan orang lain.
Oleh sebab itu, setiap kali manusia
memberikan nama kepada sesuatu, dia sebenarnya sedang membina satu jalan untuk
memahami realiti.
Daripada nama lahirlah definisi.
Daripada definisi lahirlah makna.
Dan daripada makna lahirlah cara
manusia melihat dunia.
Namun di sinilah aku menemui satu
persoalan yang jauh lebih besar.
Jika bahasa menjadi asas kepada
pemahaman...
Jika semua manusia menggunakan
bahasa...
Mengapakah manusia masih
menghasilkan tafsiran yang berbeza terhadap realiti yang sama?
Persoalan itulah yang akhirnya
membawa aku kepada satu penemuan yang mengubah seluruh cara aku melihat
kehidupan.
Aku menyedari bahawa bahasa sahaja
tidak mencukupi.
Bahasa hanyalah medium.
Yang menghidupkan bahasa ialah
sesuatu yang sentiasa berbicara di dalam diri manusia.
Aku menamakannya...
Monolog.
Bahasa
Melahirkan Monolog
Aku menyedari bahawa bahasa tidak pernah berhenti setakat
apa yang diucapkan oleh manusia.
Sebenarnya, penggunaan bahasa yang
paling kerap berlaku bukan ketika kita bercakap dengan orang lain.
Sebaliknya, ia berlaku ketika kita
sedang bersendirian.
Ketika kita berfikir.
Ketika kita mengingati masa lalu.
Ketika kita merancang masa hadapan.
Ketika kita membuat pilihan.
Dan ketika kita mempersoalkan
kewujudan diri sendiri.
Pada saat itulah manusia sebenarnya sedang menggunakan bahasa untuk berbicara dengan dirinya sendiri.
Monolog bukanlah sesuatu yang asing.
Setiap manusia mengalaminya.
Bezanya, ada yang menyedarinya dan
ada yang tidak.
Sebelum seseorang mengucapkan sesuatu... Dia terlebih dahulu mengucapkannya di dalam fikirannya.
Sebelum seseorang membuat keputusan... Dia terlebih dahulu berbincang dengan dirinya sendiri.
Sebelum seseorang menerima atau menolak sesuatu... Dia terlebih dahulu mentafsir perkara itu di dalam monolognya.
Aku percaya, hampir setiap tindakan
manusia bermula daripada monolog.
Monolog mendahului kata-kata.
Monolog mendahului keputusan.
Monolog mendahului tindakan.
Sebab itulah setiap perubahan besar
dalam kehidupan manusia hampir sentiasa bermula daripada perubahan monolognya.
Apabila monolog berubah...
Cara berfikir berubah.
Apabila cara berfikir berubah...
Cara melihat kehidupan juga berubah.
Dan apabila cara melihat kehidupan
berubah...
Seluruh perjalanan hidup seseorang
boleh berubah.
Di sinilah aku mula memahami bahawa
bahasa bukan sekadar alat komunikasi.
Bahasa ialah medium kepada monolog.
Monolog pula menjadi tempat manusia membina makna terhadap setiap perkara yang berlaku dalam hidupnya.
Jika semua manusia mempunyai
bahasa...
Jika semua manusia bermonolog...
Mengapakah manusia masih
menghasilkan tafsiran yang berbeza terhadap perkara yang sama?
Mengapa dua orang yang membaca ayat
yang sama mampu menghasilkan kefahaman yang berbeza?
Mengapa dua orang yang melihat peristiwa yang sama mampu membuat keputusan yang bertentangan?
Bahasa hanyalah medium.
Monolog juga hanyalah proses.
Persoalan sebenar ialah...
Apakah yang membentuk monolog itu?
Di sinilah bermulanya perjalanan
sebenar kerangka DEFINASIKU.
Aku mula mencari titik permulaan
yang membentuk cara manusia berfikir.
Aku mula mencari sebab mengapa
manusia mentafsir kehidupan dengan cara yang berbeza.
Aku mula mencari punca mengapa
monolog setiap manusia tidak pernah benar-benar sama.
Daripada pencarian itulah lahir satu
konsep yang menjadi asas kepada keseluruhan buku ini.
Aku menamakannya...
Titik Sfera.
Sebelum kita memahami orang lain... Kita perlu terlebih dahulu memahami diri sendiri.
Kerana setiap monolog yang kita
dengar di dalam diri kita sebenarnya sedang bermula daripada satu titik yang
selama ini jarang kita sedari.
Dan titik itulah yang akan kita
terokai dalam bab seterusnya.
Kesimpulan
Bahasa ialah anugerah yang
membolehkan manusia memahami kewujudan.
Melalui bahasa, manusia memberi
nama.
Melalui nama, manusia membentuk
definisi.
Melalui definisi, manusia membina
makna.
Dan melalui makna, lahirlah monolog
yang sentiasa membimbing setiap keputusan dalam kehidupan.
Namun, bahasa dan monolog sahaja
masih belum mampu menjelaskan mengapa manusia begitu berbeza.
Masih ada satu persoalan yang belum
terjawab.
Apakah yang membentuk monolog
manusia?
Jawapan kepada persoalan itu bermula
dengan mengenali Titik Sfera.
Kerana sebelum kita mentafsir
dunia...
Kita perlu mengetahui dari titik
manakah kita sedang melihat dunia.

0 Ulasan