BAB 4 - PRISMA MINDA
“Setiap manusia hidup dengan persoalan. Namun, tidak semua manusia menyusun persoalan sebelum mencari jawapan.”
Sejak awal buku ini, aku tidak pernah berniat untuk memberikan jawapan kepada setiap persoalan kehidupan.
Sebaliknya, aku cuba membina satu kerangka yang membantu manusia menyusun cara mencari jawapan.
Bab pertama memperkenalkan Bahasa, kerana bahasa menjadi medium kepada monolog.
Bab kedua memperkenalkan Titik Sfera, supaya manusia mengenali dirinya sendiri sebelum mentafsir dunia.
Bab ketiga memperkenalkan Definama, supaya manusia menghormati Definisi Sejagat sebelum membina Definisi Peribadi.
Namun, ketiga-tiga asas ini masih belum mencukupi.
Mengapa?
Kerana sesuatu persoalan jarang berdiri sendirian.
Di sekelilingnya terdapat pelbagai perkara.
Ada ilmu.
Ada pengalaman.
Ada emosi.
Ada keluarga.
Ada budaya.
Ada agama.
Ada undang-undang.
Ada maklumat.
Ada harapan.
Ada ketakutan.
Ada kepentingan.
Semuanya boleh hadir serentak dalam satu persoalan.
Apabila terlalu banyak perkara bercampur dalam fikiran, manusia mudah keliru.
Bukan semestinya kerana tiada jawapan.
Kadangkala kerana terlalu banyak perkara yang belum disusun.
Daripada pemerhatian inilah aku mula memahami bahawa manusia memerlukan satu kaedah untuk menguraikan dan menyusun persoalan sebelum membuat penilaian.
Kaedah itulah yang aku namakan sebagai Prisma Minda.
Apa Itu Prisma Minda?
Ia cuma analogi aku..
Dalam fizik, apabila cahaya putih melalui sebuah prisma, cahaya itu tidak berubah menjadi sesuatu yang baharu.
Prisma hanya menguraikan cahaya tersebut kepada warna-warna yang terkandung di dalamnya.
Aku menggunakan prinsip itu sebagai analogi kepada Prisma Minda.
Prisma Minda tidak mencipta jawapan.
Prisma Minda tidak menentukan siapa yang betul atau salah.
Prisma Minda membantu manusia menguraikan satu persoalan kepada subjek-subjek yang berkaitan, supaya persoalan yang pada mulanya kelihatan bercampur dapat dilihat dengan lebih jelas.
Kerana sebelum sesuatu dinilai, kita perlu tahu dahulu apa yang sedang dinilai.
Bagaimana Prisma Minda Berfungsi?
Setiap proses bermula dengan persoalan.
Manusia sentiasa bertanya.
Mengapa?
Bagaimana?
Siapa?
Bila?
Di mana?
Persoalan menggerakkan manusia untuk mencari ilmu, memahami keadaan dan membuat pilihan.
Namun persoalan tidak sepatutnya terus melompat kepada subjek.
Sebelum Prisma Minda digunakan, kita perlu kembali kepada dua asas yang telah diperkenalkan sebelum ini:
Titik Sfera dan Definama.
Maka aliran asas DEFINASIKU ialah:
1. Persoalan
Apa yang aku ingin tahu?
2. Titik Sfera
Siapa aku dalam persoalan ini?
3. Definama
Apa maksud perkara yang sedang aku bincangkan?
4. Prisma Minda
Apa yang berkaitan dengan persoalan ini?
→ Urai persoalan → hasilkan Subjek
5. Aras Sifat
Dari sudut apa aku hendak menilainya?
6. Spektrum 7
Pada tahap mana setiap Subjek berada?
→ Susun berdasarkan Justifikasi daripada Definama
7. Rumusan
Jadi, apakah yang dapat aku simpulkan?
Inilah jawapan atau definisi kita terhadap persoalan yang wujud.
1. Persoalan
Pertama, kenal pasti persoalan.
Apakah sebenarnya yang ingin aku fahami?
Persoalan yang kabur akan menghasilkan pencarian yang kabur.
Jadi jangan terus mencari jawapan.
Kenal pasti dahulu apa yang sedang ditanyakan.
2. Titik Sfera
Selepas persoalan dikenal pasti, manusia kembali kepada Titik Sfera.
Siapa aku dalam persoalan ini?
Apakah kedudukanku?
Apakah pengalaman yang mempengaruhi pandanganku?
Apakah perkara yang aku sudah tahu?
Apakah perkara yang aku belum tahu?
Titik Sfera membantu manusia mengenali dirinya sebelum mentafsir perkara di luar dirinya.
Kerana orang yang berbeza boleh melihat persoalan yang sama melalui pengalaman yang berbeza.
3. Definama
Selepas mengenali diri, manusia perlu memahami makna yang digunakan dalam persoalan.
Inilah fungsi Definama.
Adakah perkataan yang digunakan mempunyai definisi yang jelas?
Adakah aku sedang menggunakan Definisi Sejagat?
Atau aku sedang menggunakan Definisi Peribadi berdasarkan pengalaman sendiri?
Definisi Sejagat perlu dirujuk terlebih dahulu melalui sumber yang sesuai seperti bahasa, sains, agama, akademik dan undang-undang.
Kemudian Definisi Peribadi boleh digunakan apabila pengalaman dan keadaan individu memang berkaitan.
Dengan cara ini, kita tidak terus menganggap bahawa makna yang ada dalam fikiran kita ialah satu-satunya makna.
Dalam DEFINASIKU, terdapat tiga rujukan utama yang menjadi asas kepada Definisi Sejagat:
1. Bahasa
Untuk mengelakkan salah faham terhadap makna sesuatu perkataan atau istilah.
2. Sains
Untuk mengelakkan salah faham terhadap hukum fitrah dan perkara yang berlaku dalam kehidupan serta alam yang boleh dikaji dan diperhatikan.
3. Agama
Untuk mengelakkan salah faham tentang Tuhan, tujuan kehidupan dan perkara yang berada di luar batas pemerhatian manusia.
Ketiga-tiga rujukan ini mempunyai fungsi yang berbeza dan tidak semestinya menggantikan antara satu sama lain.
Bahasa membantu kita memahami makna.
Sains membantu kita memahami hukum fitrah.
Agama membantu kita memahami Tuhan dan tujuan kewujudan.
Rujukan undang-undang dan akademik pula digunakan apabila persoalan yang sedang dibincangkan memang memerlukannya.
NASIHAT AKU:
Jika anda tidak mempercayai sains atau agama, atau memilih untuk menolak salah satu daripadanya, anda perlu memahami bahawa definisi dan rumusan anda mungkin berbeza daripada kerangka DEFINASIKU.
Itu bukan semestinya bermaksud anda salah.
Anda mungkin hanya bermula daripada rujukan yang berbeza.
Jika berlaku perbezaan seperti ini, jangan berhenti pada monolog sendiri.
Dapatkan pandangan daripada pakar yang berkaitan.
Berdialog.
Bertanya.
Mendengar.
Kemudian nilai semula apa yang anda faham.
Kerana tujuan dialog bukan semata-mata untuk membuktikan siapa yang betul.
Dialog membantu kita memperbaiki monolog.
Dan apabila monolog menjadi lebih baik, cara kita melihat persoalan juga boleh menjadi lebih jelas.
4. Prisma Minda
Barulah Prisma Minda digunakan.
Selepas persoalan dikenal pasti, diri difahami dan definisi diperjelaskan, kita mula bertanya:
“Apakah perkara yang berkaitan dengan persoalan ini?”
Sebagai contoh, ambil persoalan yang mudah:
“Mengapa aku lapar?”
Kita boleh melihat beberapa subjek:
- Tubuh
- Makanan
- Tenaga
- Masa
Prisma Minda tidak terus mengatakan mana yang paling penting.
Ia hanya menguraikan persoalan supaya kita dapat melihat perkara yang berkaitan.
Kemudian barulah proses penilaian bermula.
Contoh ini sangat mudah.
Tetapi prinsipnya sama untuk persoalan yang lebih kompleks.
Contoh Yang Lebih Kompleks
Sekarang kita lihat persoalan:
“Mengapa anak aku malas belajar?”
Jangan terus membuat kesimpulan bahawa anak itu benar-benar malas.
Gunakan Prisma Minda.
Antara subjek yang mungkin berkaitan ialah:
- Anak
- Ibu bapa
- Guru
- Rakan
- Telefon
- Suasana rumah
- Sekolah
- Pelajaran
- Minat
- Emosi
Perhatikan bahawa Prisma Minda tidak menentukan punca.
Ia juga tidak menentukan mana yang paling penting.
Ia hanya membantu kita melihat persoalan dengan lebih menyeluruh sebelum penilaian dibuat.
Mungkin selepas diteliti, masalahnya bukan kemalasan.
Mungkin anak tidak memahami pelajaran.
Mungkin dia tidak sesuai dengan cara pembelajaran tertentu.
Mungkin terdapat masalah dengan persekitarannya.
Mungkin terdapat perkara lain yang belum kita ketahui.
Sebab itu kita tidak sepatutnya menghukum berdasarkan persoalan yang belum diuraikan.
Prisma Minda membuka pandangan sebelum penilaian dibuat.
NOTA: MEMILIH SPEKTRUM MENGIKUT PERSOALAN
Spektrum 7 digunakan apabila kita mahu membuat penilaian yang lebih terperinci, terutama bagi isu atau persoalan yang penting, kompleks atau mempunyai banyak subjek.
Namun, tidak semua persoalan memerlukan tujuh tahap.
Jika persoalan itu mudah, kita boleh menggunakan spektrum yang lebih ringkas.
Spektrum 3
Contohnya, untuk menilai kepentingan sesuatu perkara secara mudah:
- Penting
- Normal
- Tidak Penting
Spektrum 5
Jika memerlukan sedikit lebih banyak perincian:
- Sangat Penting
- Penting
- Normal
- Kurang Penting
- Tidak Penting
Jadi, jumlah tahap dalam spektrum boleh disesuaikan dengan keperluan persoalan.
Untuk isu yang lebih penting atau kompleks, Spektrum 7 memberikan ruang penilaian yang lebih terperinci.
NORMAL — TITIK NEUTRAL
Dalam DEFINASIKU, Normal ialah tahap neutral dan sederhana.
Normal bukan bermaksud penting dan bukan juga bermaksud tidak penting.
Ia berada di tengah sebagai titik rujukan sebelum penilaian bergerak ke arah yang lebih penting atau kurang penting.
Normal = Neutral = Sederhana.
SPEKTRUM 9 — UNTUK NILAI INFINITI
Jika kita ingin menilai sesuatu yang mempunyai sifat infiniti, kita boleh menggunakan Spektrum 9.
Spektrum 9 mempunyai dua kutub yang tidak mempunyai batas:
- Infiniti Penting
- Paling Penting
- Sangat Penting
- Penting
- Normal
- Kurang Penting
- Tidak Penting
- Paling Tidak Penting
- Infiniti Tidak Penting
Di sini, Normal menjadi titik neutral dan sederhana.
Manakala tahap 1 dan tahap 9 menjadi dua hujung yang membawa sifat infiniti:
Infiniti Penting ←────── Normal ──────→ Infiniti Tidak Penting
Ini menunjukkan bahawa spektrum bukan sekadar bilangan tahap.
Ia juga perlu menggambarkan sifat perkara yang sedang diukur.
Maka prinsipnya:
Persoalan mudah → Spektrum 3 atau 5 boleh digunakan.
Persoalan penting atau kompleks → Spektrum 7.
Persoalan yang melibatkan penilaian nilai sehingga kepada sifat infiniti → Spektrum 9.
Apa juga spektrum yang digunakan, prinsip DEFINASIKU tetap sama:
Kenal pasti persoalan.
Kenali Titik Sfera.
Gunakan Definama.
Uraikan melalui Prisma Minda.
Tentukan Aras Sifat.
Pilih spektrum yang sesuai.
Berikan justifikasi.
Kemudian buat rumusan.
5. Aras Sifat
Selepas subjek-subjek yang berkaitan dikenal pasti, kita masih belum mempunyai jawapan.
Kita perlu menentukan:
“Dari sudut apa aku hendak menilainya?”
Di sinilah kita menggunakan Aras Sifat.
Famili Sifat ialah sifat atau ukuran yang dipilih untuk menilai subjek-subjek yang telah dikenal pasti.
Antara contoh Famili Sifat ialah:
- Kepentingan
- Logik
- Risiko
- Manfaat
- Keutamaan
- Keperluan
- Kesan
Tidak semua persoalan memerlukan Famili Sifat yang sama.
Persoalan yang sama juga boleh dinilai menggunakan Aras Sifat yang berbeza.
Contohnya:
“Apakah yang paling penting dalam persoalan ini?”
→ Aras Sifat: Kepentingan
“Apakah penjelasan yang paling munasabah?”
→ Aras Sifat: Logik
“Apakah yang mempunyai risiko paling besar?”
→ Aras Sifat: Risiko
Maka setiap Aras Sifat mempunyai soalan induknya sendiri.
Atas Sifat menentukan apa yang hendak diukur.
6. Spektrum 7
Selepas Atas Sifat dipilih, barulah subjek-subjek tadi disusun menggunakan Spektrum 7.
Spektrum 7 ialah alat untuk menyusun tahap sesuatu subjek berdasarkan Famili Sifat yang dipilih.
Jika Aras Sifat ialah Kepentingan, Spektrum 7 menjadi:
- Paling Penting
- Sangat Penting
- Penting
- Sederhana
- Kurang Penting
- Tidak Penting
- Langsung Tidak Penting
Jika Famili Sifat ialah Logik, maka Spektrum 7 boleh menjadi:
- Paling Logik
- Sangat Logik
- Logik
- Sederhana Logik
- Kurang Logik
- Tidak Logik
- Langsung Tidak Logik
Struktur tujuh tahap kekal.
Yang berubah ialah sifat yang sedang diukur.
Susunan Memerlukan Justifikasi:
Spektrum 7 bukan sekadar menyusun subjek.
Setiap susunan perlu mempunyai justifikasi.
Mengapa sesuatu subjek berada pada Tahap 1?
Mengapa subjek lain berada pada Tahap 3?
Mengapa sesuatu subjek berada pada Tahap 6?
Jawapannya perlu mempunyai asas.
Di sinilah Definama kembali memainkan peranan.
Justifikasi hendaklah bermula dengan Definisi Sejagat melalui sumber yang sesuai.
Kemudian, jika berkaitan, ia boleh diperkukuhkan dengan Definisi Peribadi berdasarkan pengalaman dan keadaan sebenar.
Dengan cara ini, susunan Spektrum 7 bukan sekadar pendapat spontan.
Setiap kedudukan mempunyai sebab.
Subjek Boleh Berkongsi Tahap
Spektrum 7 tidak memaksa hanya satu subjek berada pada setiap tahap.
Beberapa subjek boleh berkongsi tahap yang sama jika berdasarkan justifikasi, kedudukannya dianggap setara.
Contohnya:
Tahap 1 – Paling Penting
- Kesihatan
- Keluarga
Kedua-duanya boleh berada pada tahap yang sama.
Spektrum 7 mengukur tahap, bukan bilangan subjek.
Ini menjadikan Spektrum 7 lebih fleksibel dan lebih dekat dengan realiti kehidupan.
7. Rumusan
Selepas keseluruhan proses dilalui, barulah rumusan dibuat.
Rumusan ialah kesimpulan yang dibentuk berdasarkan proses yang telah disusun dari awal.
DEFINASIKU tidak memaksa semua manusia menghasilkan rumusan yang sama.
Perbezaan rumusan masih boleh berlaku.
Namun melalui kerangka ini, kita dapat melihat bagaimana sesuatu rumusan itu terbentuk.
Maka perjalanan DEFINASIKU ialah:
Persoalan
→ Titik Sfera
→ Definama
→ Prisma Minda
→ Aras Sifat
→ Spektrum 7
→ Rumusan
Persoalan yang lebih ringkas atau dekat dihati kita, prosesnya lebih ringkas dan pantas.
Ia mungkin berlaku sehingga level Prisma Minda dan jawapan yang kita cari sudah pun muncul.
Tujuh Aras ini adalah proses yang lebih lengkap jika persoalan itu rumit atau pun mengelirukan.
Dan aku yakin sampai satu level, kita dah tak perlukan lagi kerangka ini kerana ia telah tertanam dalam akal fikiran dan jiwa raga untuk kita mentafsir kewujudan ini.
Tujuan Prisma Minda
Prisma Minda bukan jawapan.
Prisma Minda bukan penentu benar atau salah.
Prisma Minda juga bukan alat untuk mengumpulkan sebanyak mungkin perkara tanpa tujuan.
Tujuannya lebih mudah:
“Melihat perkara yang berkaitan sebelum membuat penilaian.”
Kita sering membuat kesimpulan berdasarkan perkara pertama yang muncul dalam fikiran.
Kita nampak satu punca.
Kita terus menyalahkannya.
Kita nampak satu keadaan.
Kita terus membuat kesimpulan.
Prisma Minda mengajar kita berhenti seketika.
Lihat.
Urai.
Kenal pasti.
Kemudian nilai.
Kesimpulan..
Prisma Minda membantu manusia menguraikan persoalan berdasarkan Definama untuk mengenal pasti subjek-subjek yang berkaitan.
Kemudian Famili Sifat menentukan dari sudut apa subjek tersebut hendak dinilai.
Spektrum 7 pula menyusun subjek mengikut tahap berdasarkan Famili Sifat yang dipilih dan justifikasi yang dibina daripada Definama.
Akhirnya, manusia membentuk rumusan.
Aku percaya...
Manusia tidak semestinya kekurangan jawapan.
Kadangkala manusia hanya terlalu cepat mencari jawapan sebelum menyusun persoalan.
Mungkin di situlah salah satu tujuan sebenar DEFINASIKU.
Bukan untuk memberikan semua jawapan.
Tetapi untuk membantu manusia menyusun cara mencari jawapan.
Kerana...
“Jangan terus mencari jawapan. Susun dahulu persoalannya.”

0 Ulasan